fb fb fb fb fb

SHMMP Krismas, pemantauan berterusan akan dilaksana - S.Veerapan

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S.Veerapan

NILAI, 23 Disember- Sebanyak 14 jenis barangan yang akan dikawal bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena perayaan Krismas yang berkuat kuasa mulai hari ini sehingga 27 Disember depan.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S.Veerapan berkata pihaknya akan memantau keberadaan bekalan barangan di pasaran di samping memastikan penggunaan alat timbang sukat yang telah ditentusahkan serta tiada sebarang aktiviti pencatutan berlaku bagi melindungi pengguna daripada peniaga yang tidak beretika semasa musim perayaan.

"Sekiranya wujud kenaikan harga barangan di tempat tertentu, kita nasihatkan supaya pengguna maklumkan kepada pihak KPDN ataupun boleh maklum terus kepada saya supaya kita boleh lakukan semakan, sekiranya ada harga barangan yang dinaikkan.

Tindakan akan diambil untuk barangan yang diletakkan bawah SHMMP ini. Barangan kawalan ini mempunyai label berwarna merah jambu," kata S.Veerapan kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2023 peringkat Negeri Sembilan, di sini.

Sementara itu, tiada sebarang pembelian panik dilaporkan di Negeri Sembilan terhadap kit ujian COVID-19 dan pelitup muka, walaupun berlaku peningkatan kes COVID-19 ketika ini.

Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan, pihaknya juga tidak menerima sebarang aduan atau laporan mengenai kenaikan harga dan kekurangan bekalan tersebut, setakat ini.

"Walaupun berlaku peningkatan seperti yang dimaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam tempoh 2-3 minggu kebelakangan ini, bekalan kit ujian itu masih stabil, tiada pembelian panik."

"Jika ada sebarang masalah berhubung bekalan barang dan kenaikan harga barang, maklum sahaja kepada kami. Kita akan ambil tindakan dan akan buat siasatan bawah Akta Kawalan Harga AntiPencatutan dan Akta Perlindungan Pengguna," kata Muhammad Zahir kepada pemberita.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM