(Lima suspek berpakaian baju lokap oren SPRM)
GEORGE TOWN, 13 Julai- Seorang anggota polis berpangkat Sarjan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah berkaitan narkotik.
Perintah reman dikeluarkan Mahkamah Majistret George Town, Nur Melati Diana Abdul Wahab bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegarah Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Suspek yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Timur Laut itu didakwa meminta rasuah sebanyak RM2,500 daripada seorang individu sebagai balasan untuk menyelesaikan kes ujian saringan air kencing adik kepada individu berkenaan.
Suspek selaku pengawai penyiasat kes meminta balasan tersebut ketika berjumpa dengan individu terbabit pada Selasa lalu
Lanjutan daripada itu, suspek ditahan bersama wang perangkap oleh SPRM semalam menerusi Operasi Perangkap.
Di mahkamah sama, empat lagi anggota polis direman lima hari bermula hari ini selepas dipercayai meminta rasuah daripada seorang lelaki agar tiada tindakan diambil berhubung rekod kesalahan lampaunya.
Seorang berpangkat Koperal dan tiga berpangkat Lans Koperal dari Balai Polis Sungai Bakap berusia antara 26 hingga 33 tahun didakwa meminta wang rasuah sebanyak RM1,000.
Kesemua anggota itu dikatakan menahan suspek di parkir kereta sebuah pangsapuri di Sungai Bakap pada 3 Julai lalu.
Difahamkan, suspek bersetuju menerima wang rasuah itu semalam sebelum mereka ditahan SPRM bersama wang perangkap terbabit.
(Lima suspek dibawa ke Mahkamah Sesyen Georgetown untuk permohonan reman hari ini)