KUALA KANGSAR, 12 Mei - Lima individu yang rentung dalam kemalangan di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora di sini, dikenal pasti pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), di sini.
Mereka adalah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, pemandu kereta, Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, penumpang hadapan, Iqbal Hasnun Halimi, 23, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, masing-masing duduk di bahagian belakang.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, ketika kejadian kesemua mangsa sedang dalam perjalanan dari Ipoh ke Kuala Kangsar.
"Kita kenal pasti berumur 19 tahun hingga 23 tahun dipercayai dari Universiti Sultan Azlan Shah, semua lelaki dipercayai dari Ipoh hendak balik ke Kuala Kangsar," katanya kepada RTM.
Sementara itu, Naib Canselor USAS, Tan Sri Dr Nordin Kardi ketika ditemui menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
"Kami sangat bersedih kerana pelajar-pelajar ini sangat baik daripada beberapa negeri satu daripada Terengganu, satu daripada Johor, dua daripada Selangor dan satu daripada Perak.
"InsyaAllah kami akan uruskan apa sahaja berkaitan jenazah yang kini sedang diuruskan oleh pihak hospital harap proses ini dipermudahkan," katanya.
Lagi berita berkaitan Lima rentung kemalangan tiga kenderaan
Lagi berita berkaitan Polis tahan pemandu treler bawa muatan besi dalam tragedi lima rentung