fb fb fb fb fb

Lima lelaki termasuk dua warga Taiwan didakwa edar dadah di Johor

Kesemua tertuduh didakwa secara bersama mengedar dadah berbahaya disyaki jenis MDMA di Gelang Patah, Iskandar Puteri / UTUSAN

JOHOR BAHRU, 20 Mac– Lima lelaki, termasuk dua warga Taiwan, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas tiga pertuduhan mengedar dadah di Iskandar Puteri, awal bulan ini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh pertama, Liong Boon Siong, 27 tahun, berdepan dua pertuduhan mengedar dadah berbahaya jenis Methamphetamine seberat 3.8 kilogram serta dadah jenis 3,4-MDMA seberat 20 kilogram. Kesalahan itu didakwa dilakukan di Iskandar Puteri pada 6 Mac lalu.

Dalam prosiding berasingan, empat lagi lelaki; Chow Zhi Peng, 30 tahun; Yeap Jun Le, 22 tahun; serta dua warga Taiwan, Peng Wei Sung dan Liu Yu Ting – mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama mengedar dadah berbahaya disyaki jenis MDMA di Gelang Patah, Iskandar Puteri, pada tarikh sama.

Ketiga-tiga pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mahkamah menetapkan 19 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan laporan kimia. Tiada jaminan ditawarkan kepada kesemua tertuduh.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE