fb fb fb fb fb

Lima lelaki didakwa jalankan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen

KUALA LUMPUR, 21 Oktober- Lima lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan menjalankan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen sejak Ogos lepas.

Bagaimanapun kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Chong Chee Siong,Tan Kim Tai,Chin Yong Xuan, Sia Ming Yang dan Chong Chee Kim didakwa memberi pinjaman berjumlah RM6,300 berserta faedah kepada tiga individu.


(Lima lelaki mengaku tidak bersalah ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur)

Perbuatan itu dilakukan di sebuah unit kondominium di Jalan Kuching, Taman Wahyu, antara 16 Ogos dan 19 Oktober lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara yang boleh sampai lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Zulaaikha Mohd Apandi tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kesemua tertuduh memandangkan ia adalah kesalahan tidak boleh dijamin.
"Namun sekiranya mahkamah ingin membenarkan ikat jamin, saya memohon jaminan RM30,000 untuk setiap pertuduhan bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai," katanya

Peguam Luqman Hakim Azhar, yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan minimum dalam lingkungan RM10,000 bagi setiap pertuduhan untuk setiap tertuduh dan memaklumkan anak guamnya bersedia menerima syarat tambahan yang ditetapkan mahkamah.

Hakim M Bakri Abd Majid membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan 21 November untuk sebutan semula kes.

Media Baharu