LANGKAWI, 24 Mei - ‘LIMA’ atau Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi bukan sahaja berperanan sebagai pameran pertahanan, malah membawa makna strategik yang lebih menyeluruh kepada negara.
Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, penganjuran LIMA turut berfungsi sebagai medium penzahiran keupayaan pertahanan negara, saluran diplomasi antarabangsa serta wadah menyemai semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.
Beliau menjelaskan, LIMA menjadi cerminan kepada kemampuan Malaysia menguruskan acara bertaraf antarabangsa dan pada masa sama membina keyakinan terhadap kekuatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam landskap geopolitik serantau.
Tambah beliau, penganjuran ini juga selari dengan Pelan Strategik Kementerian Pertahanan (MINDEF) 2021–2025 yang menekankan usaha mengekalkan kestabilan serantau melalui hubungan pertahanan dua hala dan pelbagai hala.
Ia turut menyasarkan peningkatan keupayaan ATM serta pengukuhan industri pertahanan tempatan menerusi kerjasama dengan rakan antarabangsa di luar rantau ini.
Datuk Seri Mohamed Khaled turut menyatakan bahawa LIMA secara tidak langsung membawa matlamat yang lebih besar kepada negara, antaranya menjadi simbol kebanggaan berdasarkan pencapaian serta fakta yang telah dicapai sepanjang penganjuran.
Sepanjang lima hari berlangsungnya LIMA’25, pameran itu berjaya menghimpunkan pemain industri pertahanan, keselamatan, komersial serta teknologi maritim dan aeroangkasa dari dalam dan luar negara.
Sebanyak 860 penyertaan pempamer dari 24 negara direkodkan, sekali gus mencerminkan kedudukan LIMA sebagai antara pameran pertahanan dan aeroangkasa terkemuka di rantau Asia Pasifik.
Pameran itu turut melibatkan sebanyak 43 pesawat udara dan 31 kapal dari pelbagai negara.
Majlis Menandatangani Kontrak, Memorandum Persefahaman (MoU) dan surat niat turut berlangsung dengan nilai keseluruhan berjumlah RM11 bilion.
Antara acara lain yang turut diadakan ialah pertunjukan udara dan maritim, forum industri serta sesi padanan perniagaan.
LIMA’25 bukan sahaja menjadi pentas mempromosi keamanan sejagat dan keselamatan serantau, malah membuka ruang kerjasama serta pertukaran pandangan dalam kalangan negara peserta khususnya dalam mendepani cabaran geopolitik semasa.