LANGKAWI, 23 Mei – Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) mula dibuka kepada pengunjung awam hari ini sehingga esok, menyaksikan kehadiran ribuan pelawat dari dalam dan luar negara.
Acara dwitahunan yang berlangsung di Pulau Lagenda itu sekali lagi mencuri tumpuan, khususnya menerusi pertunjukan aksi udara yang mendebarkan melibatkan jet pejuang pelbagai negara.
Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) menjadi lokasi utama bagi segmen aeroangkasa, manakala Resorts World Langkawi (RWL) menempatkan pameran komponen maritim.
Menurut pengunjung, Fina Shuib, LIMA sudah menjadi acara tradisi keluarganya sejak kecil lagi.
“Menariknya sebab aset negara dipamerkan. Sebelum ini banyak aset luar, tapi tahun ini TUDM ‘fly high’. Macam saya dengan adik saya, ini macam acara tahunan kami setiap dua tahun sebab dari kecil abah memang bawa kami ke sini. Kami teruskan benda tu,” katanya.
Pelancong dari Belanda, Anna pula menyifatkan LIMA sebagai satu pengalaman luar biasa.
“Ini penganjuran yang sangat bagus. Kami dapat melihat banyak pesawat dan pertunjukan udara yang menarik. Ini sangat istimewa buat kami sebab kami tidak dapat melihat ini di Eropah,” katanya.
Senada dengan Anna, seorang lagi pelancong dari negara sama, Alexander, turut memuji kehebatan aset udara milik negara.
“LIMA’25 sangat hebat. Saya teruja menyaksikan aset udara TUDM, antaranya Hornet dan Sukhoi,” katanya.
Bagi pengunjung tempatan, Nazrin Mohd Yusup, LIMA’25 membawa pembaharuan yang menarik.
“Saya rasa seronok tengok sebab setiap kali LIMA ni ada pembaharuan. Macam sebelum ni, peralatan dia dah berbeza dengan sekarang. Jadi peluang cuti kali ni, saya datang tengok LIMA, bawa family dan anak-anak, semua seronok,” ujarnya.
Sementara itu, Muhammad Amirul Ali yang berasal dari Langkawi meluahkan rasa bangga dengan penganjuran LIMA di tanah kelahirannya.
“Saya memang rasa banggalah sebagai orang Langkawi. Seluruh dunia datang tengok LIMA. Kami orang Langkawi tiap-tiap tahun memang takkan ‘miss’. Memang LIMA ni benda wajib kami tunggu setiap dua tahun sekali,” katanya.
Tiket masuk boleh dibeli secara dalam talian atau terus di kaunter di lokasi pameran. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi LIMA 2025.