fb fb fb fb fb

LIMA’25: Dari laut ke pinggan

Foto- Facebook Tentera Laut Diraja Malaysia

LANGKAWI, 24 MeiDalam suasana penuh warna dan rasa, Festival Makanan dan Budaya anjuran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kembali mewarnai segmen maritim Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) edisi ke-17, malam tadi.

Bertempat di Resorts World Langkawi, acara itu menghimpunkan hampir 10 negara maritim yang masing-masing menyajikan hidangan tradisional serta mempersembahkan kebudayaan unik negara mereka.

Selain menjadi platform meraikan kepelbagaian budaya, festival ini turut bertujuan mengeratkan hubungan mesra dalam kalangan kru kapal perang asing yang menyertai pameran.

Ketua Sel Resepsi, Jawatankuasa Kerja Segmen Maritim LIMA’25, Kepten Ts. Dr. Hisyam Harun berkata, acara ini merupakan tanda penghargaan kepada semua anggota laut yang berlayar jauh demi menyertai pameran tersebut.

“Kita anjurkan malam kebudayaan ini sebagai penghargaan kepada para sailors dari negara luar. Mereka bukan sahaja bawa kapal ke sini, malah berkongsi warisan budaya mereka melalui makanan dan persembahan,” katanya.

Antara negara yang turut serta termasuk Indonesia, Singapura, Bangladesh dan Rusia, yang masing-masing mempersembahkan tarian tradisional dan juadah tempatan.

Bagi Leftenan Muda Muhammad Zulnaim Hidam dari KD Lekir, tahun ini menyaksikan penekanan lebih besar terhadap makanan tempatan Malaysia.

“Kalau dibandingkan dua tahun lepas, kali ini kita lebih pelbagaikan sajian. Kita nak tunjuk budaya kita dari rasa sampai persembahan untuk tarik perhatian negara luar,” katanya.

Turut mencuri tumpuan ialah penyertaan Tentera Laut Indonesia yang turut serta memeriahkan majlis dengan makanan dan budaya mereka.

Letda Laut (T) Muh. Robyanto Darman menyifatkan majlis itu sebagai peluang untuk bertukar rasa dan budaya dalam suasana harmoni.

“Ramai negara tampil malam ni dengan makanan tradisi masing-masing. Kami rasa bangga dapat berkongsi dan pada masa sama mencuba sajian dari negara lain,” katanya.

Acara ini menjadi simbol keterbukaan dan keakraban yang terus dipupuk dalam kalangan angkatan laut serantau, selari dengan semangat diplomasi maritim yang digalakkan menerusi penganjuran LIMA.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN