KOTA KINABALU, 29 Oktober- Organisasi media memainkan peranan penting dalam memastikan industri kewartawanan di Sabah terus kekal utuh dengan memastikan penglibatan lebih ramai generasi muda sebagai pelapis dalam bidang berkenaan.
Ia berikutan tidak ramai anak muda ingin menjadikan bidang kewartawanan sebagai pilihan kerjaya kerana antaranya tawaran gaji yang diberikan kurang menarik.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sudah tiba masanya untuk organisasi media menawarkan gaji dan insentif-insentif yang bersesuaian bagi memastikan lebih ramai generasi muda menyertai bidang kewartawanan.
Dalam pada itu katanya, kerjasama pintar antara pengamal media dan kerajaan negeri amat penting dan perlu terus diperkukuh untuk memastikan kejayaan yang dicapai menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat disampaikan secara terus kepada rakyat.
Beliau berucap dalam majlis Kinabalu Press Awards (KPA) 2023 di Kota Kinabalu.