fb fb fb fb fb

Letupan di Putra Heights berpunca daripada kegagalan sambungan kimpalan

Kesan kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 Julai - Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mendedahkan punca kejadian letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu, berpunca daripada kegagalan pada bahagian sambungan kimpalan yang mengalami kelesuan mekanikal (mechanical fatigue).

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, siasatan teknikal yang dijalankan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mendapati paip gas tersebut patah setelah sambungan kimpalan mengalami tekanan berulang akibat kehilangan sokongan tanah dan pergerakan dalam tanah.

Jelas beliau, dapatan siasatan turut menunjukkan faktor perubahan fizikal serta aktiviti antropogenik di sekitar kawasan kejadian yang mengubah topografi asal turut menyumbang kepada ketidakstabilan tanah.

"Analisis mendapati paip gas ini patah setelah bahagian sambungan kimpalan mengalami mechanical fatigue. Keadaan ini turut dipengaruhi pengumpulan air setempat dalam tempoh lama yang menyebabkan kehilangan sokongan tanah.

"Ia mengalami pergerakan berulang atau cyclic loading seterusnya menyebabkan berlaku fatigue yang tertumpu di bahagian sambungan kimpalan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Langat Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkenaan keputusan punca letupan paip gas Petronas di Putra Heights di Dewan Rakyat hari ini.

Siasatan turut disertai agensi teknikal lain termasuk Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa sistem paip gas milik Petronas masih berada dalam keadaan selamat dan menepati piawaian antarabangsa, namun langkah penambahbaikan telah diarahkan termasuk penggunaan teknologi pengesanan terkini dan pemasangan sistem pemantauan masa nyata.

JKKP juga sedang melaksanakan beberapa langkah kawalan termasuk penilaian geoteknikal, rondaan lebih kerap di kawasan berisiko tinggi serta kempen kesedaran kepada masyarakat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI