MELAKA, 16 Disember - Melaka menyambut baik inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pastikan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial tertakluk di bawah Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C))bermula 1 Januari 2026.
Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, pelaksanaannya dapat memastikan penyedia perkhidmatan itu bertanggungjawab terhadap kandungan di platform mereka.
Ia penting untuk memastikan keselamatan pengguna platform berkenaan khususnya dalam kalangan kanak-kanak.
"Kita menyambut baik perkara ini. Di Melaka, terdapat banyak kes melibatkan mangsa yang terpedaya dengan media sosial, termasuk kes penipuan melibatkan kanak-kanak seawal usia lapan tahun.
"Dalam satu kes, kanak-kanak tersebut membeli barangan secara dalam talian namun menerima barang yang berbeza, menggunakan kad debit tanpa pengetahuan ibu bapanya.
"Kejadian ini hanya disedari apabila ibu membawa anak membuat laporan polis. Situasi ini menunjukkan bukan sahaja isu penipuan, tetapi juga kebimbangan apabila kanak-kanak sudah menggunakan kad debit tanpa kesedaran ibu bapa. Inilah perkara yang merisaukan kami, bukan semata-mata mengenai scam, tetapi kesan yang dibawanya", katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program SWM Kasih Back To School di Sekolah Kebangsaan Duyong, Melaka.
Menurutnya, pentingnya keperluan kawalan terhadap platform media sosial bagi membendung penyebaran penipuan, fitnah dan berita palsu yang boleh menjejaskan keselamatan serta keharmonian negara.
Tambahnya, ibu bapa digesa memainkan peranan lebih aktif memantau penggunaan media sosial anak-anak, kerana kawalan di rumah disifatkan sebagai benteng utama bagi mencegah penipuan dan pengaruh negatif digital.