fb fb fb fb fb

Lebih 28,000 calon STPM terima tawaran pengajian sesi 2025/2026

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ketika sesi soal jawab lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Disember – Seramai 28,684 calon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menerima tawaran melanjutkan pengajian bagi sesi kemasukan 2025 dan 2026 daripada 33,578 permohonan yang diterima menerusi Unit Pusat Universiti (UPU).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata jumlah itu mewakili kadar kejayaan 85.42 peratus, dengan tawaran dibuat berdasarkan pilihan program, pemenuhan syarat am dan khusus, selain prestasi calon dalam temuduga atau ujian khas bagi kursus tertentu.

Menurut beliau, 7,408 calon STPM berjaya ditawarkan tempat di universiti awam mengikut pilihan pertama masing-masing.

Selain itu, seramai 1,255 calon STPM yang memperoleh CGPA 4.0 turut menerima tawaran melanjutkan pengajian.

Daripada jumlah tersebut, 695 calon berjaya mendapat pilihan pertama, melibatkan 44 pelajar aliran sains dan 651 pelajar aliran sastera, manakala 560 calon lagi ditawarkan mengikut pilihan yang dipohon.

Datuk Seri Zambry turut memaklumkan bahawa 100 peratus calon STPM aliran sains menerima tawaran pengajian bagi sesi kemasukan berkenaan.

Mengulas mengenai calon CGPA 4.0 yang tidak mendapat tawaran, beliau menjelaskan situasi itu dipengaruhi oleh faktor merit serta prestasi dalam temuduga atau ujian khas, khususnya bagi program berdaya saing tinggi seperti perubatan, pergigian dan farmasi.

Selain itu, katanya, pencapaian mata pelajaran tertentu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) turut diambil kira dalam menentukan kedudukan merit calon dalam proses pemilihan UPU.

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI