PUTRAJAYA, 23 Mei- Kerajaan komited memperjuangkan penawaran gaji premium kepada lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi kerjasama erat bersama majikan dan pemain industri tempatan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata inisiatif itu bertujuan menghargai kemahiran tinggi dimiliki graduan TVET, dengan jangkaan kadar gaji antara RM3,500 bagi pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dan RM5,000 untuk lepasan SKM Tahap 5.
“Kita tidak imbangkan tetapi kita lakukan libat urus dengan pihak industri. Kebanyakan pemain industri bukan sahaja menandatangani memorandum persefahaman (MoU), malah juga memorandum perjanjian (MoA) untuk membayar gaji premium kepada lepasan TVET, selaras dengan permintaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Penutup Pemukiman Setahun Selepas Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024), di sini hari ini.
Zahid turut memaklumkan bahawa syarikat-syarikat yang terlibat bukan sahaja menawarkan pekerjaan, malah bertindak sebagai rakan perkongsian pintar dengan institusi TVET, melalui penajaan serta penyediaan peralatan pembelajaran.
“Mereka tidak perlu lagi melatih pengetahuan asas kerana graduan TVET sudah memiliki latar belakang yang menepati keperluan pasaran.
“Malah, ramai pelajar ini diambil sebagai pelatih industri (intern) sebelum mereka tamat pengajian,” katanya.