KUALA LUMPUR, 22 Februari- Lepasan Maktab Tentera Diraja (MTD) yang bakal menjadi pemimpin negara kelak, disaran mengamalkan nilai-nilai murni dan komited untuk memperbaiki kehidupan masyarakat.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar, berkata mereka sewajarnya mengamalkan nilai-nilai murni seperti integriti, kecekapan dan keberanian.
"Pemimpin yang berjaya bukan hanya sekadar diukur daripada segi pencapaian akademik semata-mata, tetapi juga keprihatinan terhadap isu-isu sosial serta komitmen untuk membaiki kehidupan masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perbarisan Tahunan Putera MTD 2024 disertai 436 pelajar di Padang Kawad MTD, Kuala Lumpur.
Hadir sama Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Dr Zulhelmy Ithnain.
Perbarisan kali ini menampilkan lapan detasmen diketuai Pegawai Rendah Kanan Muhammad Adif Hakimi Abdul Razak dari Kompeni Delta, dengan pembabitan keseluruhan 436 Putera.
Sementara itu, Pegawai Rendah Muda Myzan Haqiemy Muzainy, terpilih menerima Anugerah Menteri Pertahanan (Putera Terbaik Keseluruhan).
"Saya mengucapkan terima kasih kepada barisan pentadbiran MTD kerana hasil titik peluh mereka, saya dapat menjadi Putera yang berdisiplin tinggi serta berjaya dalam bidang akademik dan ketenteraan.
"Saya berazam untuk membawa perubahan kepada Malaysia, khususnya dalam bidang ketenteraan, kerana saya bercita-cita menjadi Panglima Angkatan Tentera," katanya.