KUALA LUMPUR 8 Oktober - Kerajaan sedang meneliti langkah menambah baik dana kebajikan wartawan di bawah inisiatif Tabung Kasih @HAWANA.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata usaha itu bagi memastikan lebih ramai rakan media yang memerlukan, dapat terus dibantu.
“Kadangkala dalam keadaan tertentu mereka memerlukan bantuan yang lebih dan kita perlu teliti apakah cara yang terbaik, apakah mekanisme selain daripada terus bergantung kepada Pejabat Perdana Menteri.”katanya selepas Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Anggota Majlis Penyeliaan Dan Lembaga Pengelola Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Bagi Tempoh 2025-2027, di sini.
Beliau berharap Lembaga Pengelola Bernama yang baru dilantik, dapat meneliti kemungkinan melaksanakan usaha pengumpulan dana bagi memperkukuh Tabung Kasih @HAWANA.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk tabung berkenaan dan telah diuruskan dengan baik oleh pihak Bernama.
Namun, terdapat keperluan untuk memastikan bantuan dapat terus disalurkan tanpa hanya bergantung kepada dana daripada Pejabat Perdana Menteri.