fb fb fb fb fb

Lembaga Koko Malaysia akan distruktur semula

Foto FB Zahid Hamidi

BAGAN DATUK, 6 Oktober- Lembaga Koko Malaysia akan distruktur semula bagi membolehkan pengurusan industri dan komoditi kelapa diletakkan di bawah agensi tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu telah dibincangkan di peringkat Kabinet pada awal tahun ini, dan agensi tersebut akan dikenali sebagai Lembaga Koko dan Kelapa Malaysia.

Beliau menjelaskan bahawa cadangan tersebut bertujuan mengangkat industri kelapa sebagai salah satu sumber pendapatan baharu bagi penduduk luar bandar.

"Ini tidak memerlukan perbelanjaan atau perjawatan tambahan. Sebaliknya, kita akan menggunakan perjawatan sedia ada dan melibatkan mereka yang pakar dalam bidang ini, termasuk daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia), atau mana-mana institut penyelidikan yang berkaitan.

"Ini adalah pendekatan untuk mengelakkan pembaziran. Sebaliknya, kita akan memanfaatkan sumber yang sedia ada," katanya semasa Majlis Perasmian Penutup Jelajah Hari Terbuka UNISEL dan Kelapa Fest di sini.

Beliau turut menambah bahawa inisiatif itu akan memberi manfaat kepada 215,000 Ketua Isi Rumah yang terlibat secara langsung sebagai pekebun kecil kelapa.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, perbincangan dengan agensi lain seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan diadakan untuk meluaskan pasaran produk kelapa.

Mengulas mengenai penganjuran Kelapa Fest di Bagan Datuk, beliau menyatakan bahawa program itu akan diangkat sebagai acara tahunan dan diadakan pada minggu pertama setiap Oktober.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa Universiti Selangor (UNISEL) akan disenaraikan dalam Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

Menurutnya, UNISEL akan menjadi institusi pengajian tinggi (IPT) keenam yang menyertai kelompok tersebut.

Ini adalah salah satu usaha untuk meluaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

"Ini akan menambah nilai kepada UNISEL. Insya-Allah, lebih ramai pelajar teknikal dan profesional akan mendaftar di UNISEL. Majlis TVET Negara akan memberikan sokongan penuh kepada UNISEL sebagai sebahagian daripada MTUN," katanya.

MTUN akan menerima lepasan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 dan 2 untuk melanjutkan pelajaran dalam TVET di peringkat lebih tinggi.

Lima Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dalam MTUN ialah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM