fb fb fb fb fb

Lelaki terjun sungai dikhuatiri lemas

KOTA BHARU,16 Mei- Seorang lelaki berusia 40-an dikhuatiri lemas selepas terjun ke dalam Sungai Kelantan di Jambatan Sultan Ismail Petra tengahari tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, kejadian itu disedari orang awam apabila melihat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di atas jambatan dari arah Kota Bharu menghala ke Tumpat.

Katanya, saksi kemudian melihat lelaki itu bertindak terjun ke dalam sungai dan perkara itu dilaporkan kepada pihak polis.

Jelasnya, siasatan awal polis ke lokasi kejadian mendapati terdapat sebuah motosikal berwarna hitam yang berkemungkinan mempunyai kaitan dengan mangsa.

"Setibanya kita di lokasi kejadian hasil daripada semakan di tempat kejadian kita telah menemui satu motosikal yang berkemungkinan ada kaitan dengan mangsa yang terjun dan siasatan lanjut masih diteruskan," kata Mohd Rosdi.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita pada sidang media di lokasi kejadian di Lembah Sireh, Kota Bharu.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa itu melibatkan seramai empat pegawai dan 31 anggota terdiri daripada pelbagai agensi iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM),Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Selain itu, tiga buah bot dan 11 jentera dari pelbagai agensi digerakkan dalam operasi berkenaan.

Pencarian mangsa dibuat 500 meter dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh seperti yang dinyatakan oleh saksi.


(Operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan oleh pelbagai agensi penyelamat)

Media Baharu