GUA MUSANG, 23 April- Seorang lelaki Orang Asli maut selepas trak pikap yang dinaikinya bersama lima rakan sekerja terbabas di atas jambatan sebelum terjunam ke dalam Sungai Belatop, berhampiran Tanah Tinggi Lojing, petang tadi.
Mangsa, Jali Harun, 50, dari Pos Brooke, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit dan dihempap pintu kenderaan yang terbenam di dasar sungai dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Nor Azizi Che Noh, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.40 petang sebelum 19 anggota bersama lima jentera dari BBP Gua Musang dan BBP Cameron Highlands digerakkan ke lokasi kejadian.
“Kenderaan dipercayai hilang kawalan ketika menuruni jambatan sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam 40 meter. Salah seorang mangsa tersepit di bawah kenderaan dalam air. Usaha menyelamat memerlukan bantuan kren bagi mengangkat kenderaan untuk keluarkan mangsa,” katanya.
Difahamkan, kesemua mangsa ketika itu dalam perjalanan dari Kampung Raja, Cameron Highlands menuju ke sebuah tapak projek berhampiran kawasan kejadian.
Operasi menyelamat mengambil masa lebih satu jam sebelum kesemua mangsa berjaya dikeluarkan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Penguasa Polis (SUPT) Sik Choon Foo, mengesahkan kejadian dan memaklumkan bahawa mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.
Kes diklasifikasikan sebagai kemalangan maut dan siasatan lanjut sedang dijalankan.