BINTULU, 26 Disember – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) ditemukan rentung dalam kebakaran yang memusnahkan 31 buah rumah setinggan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Sangan Iban, Seberang Pekan Sangan, Tatau, awal pagi tadi.
Mangsa dikenal pasti sebagai Geruna Enchana, 22 tahun, ditemukan meninggal dunia di lokasi kejadian pada pukul 2.36 pagi sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.18 malam dan sepasukan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau dikerahkan ke lokasi.
Menurut kenyataan JBPM, kebakaran melibatkan rumah struktur tidak kekal dengan 30 buah rumah musnah terbakar 100 peratus manakala sebuah rumah berjaya diselamatkan, termasuk sekolah berhampiran daripada turut terjejas.
Operasi pemadaman berdepan kesukaran berikutan lokasi kejadian berada di seberang sungai dan tidak mempunyai akses jalan raya.
"Anggota bomba terpaksa memindahkan peralatan pemadaman menggunakan perahu penduduk kampung.
“Operasi pemadaman dilakukan dengan membentang satu aliran sepanjang 400 kaki menggunakan pam angkut dengan sumber air terbuka dari sungai berhampiran sehingga kebakaran berjaya dikawal daripada terus merebak dan dipadam sepenuhnya,” menurut kenyataan itu.
Seramai 97 penduduk daripada 23 keluarga terjejas dalam kejadian tersebut, namun tiada mangsa lain dilaporkan cedera.
Operasi melibatkan tujuh anggota bomba dengan kekuatan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda, serta dibantu agensi lain termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pejabat Daerah Tatau dan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS).