fb fb fb fb fb

Bantuan SARA dinikmati semua golongan

Penerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) membeli barangan keperluan harian/ BERNAMA

SEREMBAN, 26 Disember - Negeri Sembilan antara negeri yang mencatatkan 100 peratus penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), sekali gus membuktikan bahawa bantuan disalurkan Kerajaan MADANI benar-benar dimanfaatkan sepenuhnya oleh penerima, untuk menampung keperluan dapur harian.

Tinjauan RTM mendapati, inisiatif kerajaan itu banyak membantu rakyat membeli barangan keperluan asas harian seperti beras, minyak masak, telur dan susu, sekali gus meringankan beban perbelanjaan bulanan isi rumah.

Seorang pelajar maktab perguruan Divya Sri Nagappan berkata, inisiatif kerajaan itu meringankan perbelanjaan pelajar.

"Bantuan SARA ini inisiatif kerajaan, jadi SARA sangat membantu pelajar seperti saya kerana boleh digunakan untuk membeli makanan dan keperluan asas," katanya.

Sementara itu, Nazipah Mat Shaid@Md Said, seorang penjawat awam, menyokong kesinambungan program itu pada masa depan.

"Ya, saya setuju SARA diteruskan pada masa akan datang kerana ia memudahkan masyarakat membeli barangan tanpa mengeluarkan wang tunai dan dapat mengurangkan beban perbelanjaan," katanya.

Bagi peniaga, Zarizal Danielle Zariq pula berpandangan bantuan Kerajaan MADANI itu membantunya mendepani cabaran ekonomi semasa.

"Sebagai peniaga, bantuan ini sangat membantu. Ia membolehkan kami barangan keperluan seperti gula, garam, minyak dan barangan kering lain. Harap kerajaan dapat menambah jumlah bantuan supaya lebih banyak dapat dibantu," katanya.

Seorang lagi peniaga kecil Habibah Dahlan berkata, bantuan kerajaan itu memberi sedikit ruang kepadanya untuk mendapatkan barangan keperluan harian.

"Bantuan ini sangat baik untuk kami yang berpendapatan rendah. Barangan keperluan asas seperti beras, telur dan tepung dapat dibeli tanpa rasa terbeban. Harap inisiatif ini diteruskan," katanya.

Bagi pesara Zarina Anuar pula bantuan itu memberi kelegaan dan dapat mengurangkan perbelanjaann untuk mendapatkan barangan keperluan harian.

"Biasanya kami gunakan SARA untuk membeli tepung, gula dan barangan harian lain. Alhamdulillah, bantuan ini benar-benar membantu mengurangkan beban kami dan kami sangat menghargai Kerajaan MADANI," katanya.

Tidak terkecuali pasangan pesara swasta, Khairuddin Ibrahim dan Anisah Saedah Hassan yang turut meluahkan rasa syukur apabila menerima bantuan tersebut.

"Alhamdulillah, bantuan ini memang membantu kami yang bersara dan tidak pernah menerima sebarang bantuan sebelum ini. SARA benar-benar meringankan beban kami," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI