KUALA LUMPUR, 26 Disember – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan tahap bahaya, buruk dan waspada melibatkan beberapa negeri di Pantai Timur dan selatan Semenanjung sehingga Isnin, 29 Disember 2025.
Bagi amaran hujan berterusan tahap bahaya, hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku di Kelantan melibatkan daerah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Machang dan Pasir Puteh serta Terengganu membabitkan Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang.
Sementara itu, amaran hujan berterusan tahap buruk dikeluarkan bagi Kelantan melibatkan Jeli, Tanah Merah dan Kuala Krai.
Sementara itu di Terengganu melibatkan Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman; serta Pahang membabitkan Kuantan, Pekan dan Rompin.
MetMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada bagi Kelantan di Gua Musang, Pahang (Jerantut, Maran dan Bera) serta Johor melibatkan Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi.
Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk banjir dan gangguan perjalanan.