fb fb fb fb fb

30 pelajar asnaf bawah PPITM sertai bengkel persediaan SPM 2026

Bengkel Persediaan Belajar dan Membuat Nota SPM 2026 anjuran Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE)

KANGAR, 26 Disember - Seramai 30 murid Tingkatan 4 yang merupakan anak-anak asnaf bawah Program Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih MADANI (PPITM) menyertai Bengkel Persediaan Belajar dan Membuat Nota Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026.

Menurut Pengerusi Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE) Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin, bengkel itu itu bertujuan membantu murid-murid membuat persediaan awal menghadapi peperiksaan SPM 2026, di samping memanfaatkan cuti sekolah dengan aktiviti pembelajaran yang berfokus dan bermakna.

Ia menumpukan kepada teknik pembelajaran berkesan, kemahiran membuat nota yang sistematik, serta pengukuhan kefahaman akademik murid, bagi menyokong peningkatan prestasi mereka secara berterusan.

"Bengkel ini memberi pendedahan kepada murid tentang cara belajar lebih efektif dan membuat nota yang tersusun, sekali gus membantu mereka lebih bersedia menghadapi peperiksaan SPM tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Perasmian Bengkel Persediaan Belajar dan Membuat Nota SPM 2026 di sini.

Majlis perasmian bengkel tersebut turut dihadiri Pengerusi Program PPITM, Datin Noridah Yangman, dan Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Muhammad Zulfaqar Mazlan.

Penganjuran bengkel itu mencerminkan komitmen berterusan FCoEE dalam memperkasa pendidikan anak-anak asnaf serta menyokong pembangunan modal insan berkualiti, selaras dengan aspirasi pendidikan negara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI