(Foto FB Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia)
KRUBONG, 4 April- Seorang lelaki maut selepas terjatuh dari tingkat sembilan bangunan Program Perumahan Rakyat (PPR) Krubong di Paya Rumput, di sini, semalam.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 berhubung kejadian pada pukul 5.55 petang.
Bertindak atas maklumat itu, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheng menaiki jentera FRT dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Jamian Saleh berkata, mangsa berusia 45 tahun disahkan meninggal dunia di atas bumbung tingkat dua bangunan terbabit oleh petugas perubatan.
Anggota bomba kemudian bertindak membawa turun mangsa daripada kawasan tersebut dan menyerahkan mayat mangsa kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi ditamatkan pada pukul 7.55 malam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati kematian mangsa yang berstatus duda itu tiada unsur jenayah.
Katanya, mangsa tinggal seorang di salah sebuah unit di tingkat sembilan berkenaan.
Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
(Foto FB Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia)