KEMAMAN, 21 April- Seorang lelaki warga Indonesia maut manakala dua rakannya cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 265.5, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Penguasa Polis (SP) Mohd Razi Rosli berkata dalam kejadian kira-kira pukul 7.00 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Iss Junaidi, 40, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Dua lagi penumpang iaitu Adnan, 41, dan Samsul Ariffin, 45, cedera ringan pada beberapa bahagian badan.
Mohd Razi berkata ketiga-tiga mangsa yang bekerja sebagai buruh ketika itu dalam perjalanan dari Kuantan menuju ke kawasan perindustrian Paka di Dungun.
Jelasnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar besi pembahagi jalan dan terbalik beberapa kali.
Mangsa kemudian tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.