fb fb fb fb fb

Lelaki hilang dipercayai diserang buaya

Foto BERNAMA

SANDAKAN, 15 Julai – Seorang lelaki dilaporkan hilang dipercayai diserang buaya ketika menjala ikan di Sungai Taman Kenari, di sini, malam tadi.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada pukul 8.50 pagi tadi.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Chauslim Sunsubin bergegas ke lokasi kejadian sejauh kira-kira lapan kilometer dan tiba tujuh minit kemudian.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah digerakkan serta-merta. Maklumat awal turut memaklumkan bahawa identiti mangsa masih belum dikenal pasti, namun mangsa disahkan sebagai seorang lelaki.

"Operasi SAR melibatkan lima anggota bomba menggunakan jentera FRT dan VIGO, dengan kerjasama PDRM," menurut kenyataan itu.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Ketua Balai BBP Sandakan, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Jimmy Lagung di talian 013-9963083.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM