Lelaki ditemukan lemas di Sungai Kelantan, Pasir Mas

Foto fail/RTM

PASIR MAS, 25 Januari -Seorang lelaki ditemukan lemas di Sungai Kelantan dalam kawasan Kampung Atas Pinggir Tendong, Pasir Mas, Kelantan, petang semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mayat seorang lelaki ditemui lemas di Sungai Kelantan di Kampung Atas Pinggir Tendong, Pasir Mas.
  • Polis dan bomba datang ke lokasi serta dibantu penduduk untuk menaikkan mayat ke darat.
  • Mangsa berusia 37 tahun, Melayu, Islam dan belum berkahwin; dilaporkan hilang sejak Khamis lalu.
  • Mayat dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat; kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Polis menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu melalui sistem MERS 999 kira-kira pukul 3.40 petang.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Mazlan Hassan berkata, pihak polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Pasir Mas telah ke lokasi kejadian dan membantu menaikkan mayat mangsa ke darat dengan bantuan penduduk setempat.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa berusia 37 tahun, berbangsa Melayu, beragama Islam dan masih belum berkahwin.

“Mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak Khamis lalu dan tiada laporan polis dibuat oleh pihak keluarga,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk tindakan bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu dan sentiasa peka terhadap aspek keselamatan diri.