fb fb fb fb fb

Lelaki ditemukan lemas di Dabong

Foto PDRM

KUALA KRAI, 7 Jun- Kegembiraan sekumpulan sahabat untuk mandi di Sungai Kenerong, Dabong Kuala Krai, Kelantan bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas selepas dipercayai dibawa arus deras, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa, lelaki berusia 47 tahun, dikatakan turun ke sungai terlebih dahulu untuk memeriksa kedalaman air sebelum hilang secara tiba-tiba akibat dihanyutkan arus deras.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 2.07 petang menerusi makluman daripada MERS 999. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera digerakkan melibatkan tiga anggota dari Balai Polis Dabong dan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Dabong.

Mayat mangsa berjaya ditemukan pada pukul 4.13 petang dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra untuk proses bedah siasat.

Siasatan awal mendapati mangsa bersama sembilan rakan keluar dari rumah di Kampung Dabong menuju ke sungai berkenaan untuk mandi. Bagaimanapun, arus deras yang tidak disangka menyebabkan mangsa gagal menyelamatkan diri.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan mengelakkan daripada mandi di sungai terutamanya ketika aliran air deras yang boleh mengundang bahaya. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut akibat lemas.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai di talian 09-966 6222.

SITI NOORAIN ABDULLAH