KUCHING, 7 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan, langkah Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk mengurangkan tenaga kerjanya, tiada kaitan dengan isu antara syarikat minyak nasional itu dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros).
Katanya, beliau merancang untuk bertemu dengan Petronas bagi mendapatkan butiran terperinci mengenai proses penstrukturan semula tenaga kerja syarikat.
Beliau telah sedia maklum bahawa proses penstrukturan itu perlu dilakukan di tengah-tengah penurunan harga minyak mentah ketika ini.
“Cabaran harga minyak global adalah sebab mengapa Petronas perlu menyusun semula keseluruhan operasinya," beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri majlis ibadah korban Aidiladha di Masjid Taman Hussein, hari ini.
“Saya merancang untuk bertemu dengan pihak Petronas untuk mendapatkan taklimat dan bagi memastikan jumlah pemberhentian pekerja dapat dikurangkan, jika tidak dapat dielakkan,” tambah beliau lagi.
Pada 5 Jun, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dilaporkan berkata syarikat minyak nasional itu akan mengurangkan 10 peratus tenaga kerjanya dalam mendepani keadaan operasi yang mencabar.