KEMAMAN, 8 Mac- Tujuh rumah teres dua tingkat terbakar dalam kebakaran yang berlaku di Taman Alam Perdana, Binjai, Kemaman, pagi tadi.
Kejadian itu juga menyebabkan seorang lelaki melecur di bahagian tangan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Hanif Che Khalid, berkata insiden turut mengakibatkan tiga buah kereta dan sebuah motosikal musnah
Pihak bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 7.55 pagi.
"Mangsa, seorang lelaki berusia 53 tahun, telah dikejarkan ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.
"Lima daripada tujuh rumah yang terbakar mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan, manakala sebuah rumah musnah hampir 85 peratus.
"Pihak bomba mengambil masa kira-kira 50 minit untuk mengawal kebakaran, dengan keanggotaan seramai 25 orang, termasuk anggota dari BBP Chukai, Kemaman dan Bomba Sukarela Seberang Tayor.
"Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya kepada RTM.
Sementara itu, mangsa, Ahmad Zulwafi Mohd Sitara, berkata beliau menyedari rumahnya terbakar selepas dimaklumkan oleh jiran.
"Jiran sebelah menelefon dan memberitahu bahawa bahagian depan rumah sudah terbakar. Saya dan keluarga segera keluar melalui pintu belakang rumah," katanya.