KUALA LUMPUR, 8 Mac - Hujan berterusan dijangka melanda Pantai Timur Semenanjung khususnya Kelantan dan Terengganu sehingga 12 Mac ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Ketua Pengarah MetMalaysia, Mohd Hisham Mohd Anip berkata keadaan itu berpunca daripada luruan angin timuran yang sedang berlaku dan dijangka kekal hingga Rabu depan.
“Keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan berterusan di Pantai Timur, terutama di Kelantan dan Terengganu.
“MetMalaysia sentiasa memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan amaran hujan berterusan sebaik sahaja tahap keyakinan ramalan mencapai tahap tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, amaran angin kencang serta laut bergelora turut dikeluarkan bagi perairan Laut China Selatan sehingga 11 Mac.
Orang ramai dinasihatkan merujuk laman web www.met.gov.my, media sosial rasmi MetMalaysia, serta aplikasi myCuaca untuk maklumat terkini.