fb fb fb fb fb

Lelaki maut dalam insiden berbalas tembakan dengan polis

Dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, suspek mati di tempat duduk pemandu kereta dan dalam keadaan berlumuran darah.

JITRA, 17 Februari- Seorang lelaki bersenjata api, disyaki penjenayah, maut dalam insiden berbalas tembakan dengan polis di Jalan Bukit Kechil, Napoh, Jitra petang semalam.

Dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, suspek mati di tempat duduk pemandu kereta dan dalam keadaan berlumuran darah.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata kejadian berlaku ketika polis yang sedang melakukan rondaan Op Laras di jalan terbabit mengarahkan kereta dipandu suspek berhenti selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Suspek bagaimanapun melepaskan dua das tembakan ke arah polis.

Polis membalas empat das tembakan yang mengenai dada kirinya menyebabkan suspek meninggal dunia di tempat kejadian.

Siasatan awal mendapati suspek memiliki empat rekod jenayah membabitkan dadah dan senjata api tiruan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM