KUALA LUMPUR, 2 Disember - Kerajaan meluluskan sebanyak RM926.187 juta peruntukan bagi mengurus penganjuran Kepengerusian ASEAN 2025.
Ia melibatkan 326 mesyuarat membabitkan tiga tonggak utama kerjasama serantau sepanjang tahun ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bagaimanapun akaun perbelanjaan tahunan belum ditutup berikutan masih terdapat mesyuarat ASEAN yang berlangsung sehingga penghujung Disember 2025.
“Untuk Kementerian Luar sahaja, peruntukan adalah RM560 juta. Banyak mesyuarat persidangan peringkat ketua negara peringkat atasan, peruntukan keseluruhannya telah diperuntukkan untuk kesemua tonggak iaitu tonggak politik dan keselamatan, tonggak ekonomi dan juga tonggak sosiobudaya," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara.
Beliau menjawab pertanyaan Senator, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengenai jumlah kos penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan langkah memastikan perbelanjaan kekal berhemah serta memberi pulangan ekonomi.
Beliau berkata, kepengerusian Malaysia mencipta sejarah dengan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan ASEAN-GCC-China, satu pencapaian yang belum pernah dilakukan negara pengerusi sebelum ini memandangkan ketiga-tiga blok itu memiliki kekuatan strategik daripada aspek sumber asli, modal dan pasaran besar.
Tegasnya, keutamaan Malaysia adalah meningkatkan perdagangan intra-ASEAN yang ketika ini masih di bawah 25 peratus, bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisi.
Behubung pulangan ekonomi daripada perbelanjaan penganjuran, beliau menjelaskan bahawa sidang ASEAN bukan acara bidaan seperti temasya sukan, sebaliknya mandat berkala setiap 10 tahun yang memberi manfaat jangka panjang melalui keputusan dasar, dokumen hasil dan pengukuhan blok ASEAN berpenduduk lebih 700 juta.
"Jadi, keutamaan kita sekarang adalah bagaimana cara untuk kita tingkatkan lagi perdagangan di antara negara-negara ASEAN kerana perdagangan antara negara ASEAN tak sampai pun 25 peratus daripada perdagangan negara ASEAN. Jadi ini nak yang kita buat. kita nak lihat kalau kita boleh tingkatkan menjelang lima tahun akan datang kepada 30 peratus," katanya.
Dalam aspek geopolitik, Datuk Seri Mohamad berkata kejayaan terbesar Malaysia ialah melaksanakan agenda keterangkuman dengan menerima Timor-Leste sebagai anggota ASEAN ke-11 selepas penantian berbelas tahun, hasil diplomasi konsisten yang konsisten.