KUALA LUMPUR, 2 Disember - Sebanyak 58 hebahan jangkaan awal banjir dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kepada 77 buah daerah di seluruh negara dalam tempoh dua minggu ini.
Timbalan Pengarah (Operasi) Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) JPS, Ir. Dr. Salwa Ramly menyifatkan, ia sebagai pencapaian terbaik dan proaktif bagi memastikan keselamatan rakyat.
Selain, memastikan kesiapsiagaan agensi penyelamat serta penduduk di kawasan berisiko banjir.
“Di Pusat Ramalan-Amaran Banjir Negara, kami mempunyai sistem yang boleh membuat ramalan sehingga tujuh hari ke hadapan dan mengeluarkan amaran seawal dua hari.
" Amaran ini disalurkan kepada kumpulan sasaran di daerah yang berisiko supaya rakyat lebih cakna dan bersedia menghadapi situasi semasa,” katanya kepada pemberita selepas sesi temubual di program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.
Tambah beliau, ramalan banjir turut boleh diakses secara terus oleh orang ramai melalui aplikasi MyPublicInfoBanjir serta melalui portal Public Info Banjir, dengan maklumat yang dikemas kini setiap 15 minit.
“Dengan sistem ini, agensi penyelamat dapat membuat persediaan awal bagi operasi menyelamat dan pemindahan," katanya.