KUALA LANGAT, 2 Disember - Seramai 1,200 peserta daripada komuniti setempat menyahut cabaran menyertai program Fun Run, Walk & Ride Sijangkang 2025 yang berlangsung baru-baru ini, tertarik dengan peluang menikmati udara segar serta keindahan alam semula jadi paya bakau.
Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Dr. Wan Nooraini Wan Mohamed Noor berkata, program berkenaan merupakan acara penutup Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) bagi tahun 2025 di Selangor.
“Penganjuran program ini bertujuan memupuk amalan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan masyarakat.
“Selain itu, ia turut mengeratkan silaturahim sambil memberi peluang kepada peserta menikmati keunikan ekosistem paya bakau di kawasan ini,” katanya ketika berucap pada program berkenaan di Taman Rekreasi Paya Bakau, Sijangkang.
Program tersebut direalisasikan melalui kerjasama strategik Wellness Hub Kuala Langat, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat, Masjid Jamiatul Ehsani Kampung Sijangkang serta Persatuan Taman Rekreasi Paya Bakau Sijangkang.
Hadir sama, Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Langat, Dr. Norhayati Mokhtar; Nazir Masjid Jamiatul Ehsani, Khairul Anam Paiman; dan Pengerusi Persatuan Taman Rekreasi Paya Bakau Sijangkang, Mohd Suhaimi Sanusi.
Pelbagai agensi kerajaan dan swasta lain seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kuala Langat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta syarikat korporat seperti Gardenia, Kao Malaysia, As Sakeenah Optometry dan Earth Home Malaysia turut menyumbang sebagai rakan strategik.
"JKNS sangat mengalu-alukan penglibatan semua pihak dalam menyediakan infrastruktur riadah. Namun, sebagai pengguna, kita harus bersama-sama menjaga kebersihan dan fasiliti supaya kemudahan ini berkekalan.
"Semoga rakyat Malaysia terus mengamalkan cara hidup cergas dan sihat demi menjamin kehidupan yang lebih bermakna dimasa depan," tambahnya.
Para peserta kelihatan bersemangat melintasi papan tanda Taman Rekreasi Paya Bakau, Sijangkang semasa memulakan acara larian dalam program tersebut / JKNS