
KUALA LUMPUR, 3 Mac – Sebanyak RM159.79 juta diperuntukkan bagi melaksanakan projek meroboh dan membina semula Kuarters Flat Persekutuan KM4, Jalan Tuaran, Kota Kinabalu yang dijangka bermula 20 Mac 2026.
- Peruntukan RM159.79 juta untuk roboh dan bina semula Kuarters Flat Persekutuan KM4, Jalan Tuaran, Kota Kinabalu.
- Projek melibatkan 216 unit kuarters lengkap dengan surau, dewan serbaguna, tadika, taska dan ruang parkir.
- Pelaksanaan menggunakan kaedah Reka dan Bina, dilaksanakan oleh Bangkit Energy & Pro Logistic (EM) Sdn. Bhd.
- PPK2 dan JKR Malaysia bertanggungjawab pemantauan, dengan penekanan kepada kualiti, masa dan kos diluluskan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pembinaan itu melibatkan 216 unit kuarters lengkap dengan kemudahan surau, dewan serbaguna, tadika, taska serta ruang parkir bagi mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih berkualiti dan akan dilaksanakan melalui kaedah Reka dan Bina.
“Projek ini merupakan salah satu inisiatif Kerajaan MADANI dalam menyediakan kuarters yang selamat, selesa dan kondusif kepada penjawat awam, seterusnya memperkukuh mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, khususnya di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan pelantikan Pengarah Projek di Menara Kerja Raya, di sini hari ini.
Kontrak pembinaan dianugerahkan kepada Bangkit Energy & Pro Logistic (EM) Sdn. Bhd., manakala pelaksanaan serta pemantauan projek dipertanggungjawabkan kepada Pasukan Projek Khas 2 (PPK2) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia.
Kerjasama erat antara PPK2, JKR Malaysia dan pihak kontraktor diharap dapat terus diperkukuh sepanjang tempoh pelaksanaan projek bagi memastikan ia disiapkan dengan kualiti tinggi, menepati tempoh ditetapkan serta dalam lingkungan kos diluluskan.
Terdahulu, sebanyak 24 SST telah dikeluarkan JKR Malaysia sejak 2024, termasuk tiga projek dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.