fb fb fb fb fb

Lebih banyak syarikat konsesi lebuh raya diharap terlibat cadangan penstrukturan semula - Fadillah

(Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof bercakap pada sidang media khas)

KUALA LUMPUR, 4 April - Kerajaan mengharapkan lebih banyak syarikat konsesi lebuh raya akan terlibat dengan cadangan penstrukturan semula.

Jelas Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, penstrukturan itu bagi membantu dalam mengurangkan kos sara hidup rakyat menerusi jaminan kadar tol yang konsisten sehingga tamat konsesi.

Setakat ini, empat syarikat konsesi lebuhraya sekitar Lembah Klang terlibat dengan pentrukturan di bawah Syarikat Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR).

"Empat lebuh raya terlibat adalah KESAS, yang mana KESAS Sdn Bhd menguruskan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd yang menguruskan Lebuh Raya Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd yang mengurus Lebuh Raya Sprint dan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART), jadi saya dengan ini mengalu-alukan supaya syarikat konsesi untuk sama-sama mendekati dan melihat kembali kepada semua pengurusan lebuh raya bertol, " kata beliau dalam sidang media khas, di sini hari ini.

Tambah Fadillah, perbincangan bersama syarikat konsesi lain sedang dilaksana bagi menarik lebih ramai syarikat konsesi lebuh raya terlibat dengan kerjasama tersebut.

(Gambar fail)

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi kenyataan media memaklumkan kadar tol di empat lebuh raya di sekitar Lembah Klang iaitu lebuh raya KESAS, SMART, SPRINT dan LDP tidak akan dinaikkan dan akan kekal sehingga tamat tempoh konsesi.

Langkah penstrukturan semula empat syarikat konsesi lebuh raya itu akan menjimatkan bayaran pampasan dari 1 Januari 2022 sehingga tamat tempoh konsesi; dianggarkan sekurang-kurangnya RM4.3 bilion.

Jelasnya, kerajaan telah bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula itu setelah penelitian terperinci daripada semua aspek yang meliputi bebanan kepada pengguna, obligasi kerajaan selaras dengan Perjanjian Konsesi serta beban kewangan Kerajaan.

Media Baharu