PENDANG, 26 Januari - Hampir 500 koperasi di negara ini yang menjalankan perniagaan dalam sektor pelancongan amat terkesan dan mengalami kerugian akibat pandemik COVID-19.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Dr Abdul Fattah Abdullah berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan sektor tersebut ditutup, sekaligus hilangnya sumber pendapatan.
Bagaimanapun, koperasi menerusi sektor peruncitan tidak terjejas ekoran permintaan yang berterusan.
Malah, lebih banyak koperasi peruncitan ditubuhkan oleh kariah masjid dan di kawasan perumahan.
Ia bagi memudahkan orang ramai mendapat bekalan barang keperluan tanpa perlu ke pasaraya kerana sekatan perjalanan yang dilaksanakan pada ketika itu.
"Ketika pandemik, kita tidak berani pergi ke pasar raya kerana orang ramai, prosedur operasi standard (SOP) dan sebagainya. Jadi, ketika itu menyebabkan banyak koperasi komuniti diwujudkan. Contohnya, masjid yang banyak berfungsi, tubuhkan koperasi sebagai platform ekonomi.
"Begitu juga koperasi di kawasan perumahan. Itu antara contoh pernigaan yang tidak terkesan", katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Pusat Keusahawanan Komuniti Pendang dan Karnival Jualan Harga Patut sempena Sambutan Jubli Emas Angkasa ke-50 di Pendang, Kedah.
Perasmian tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Sementara itu, orang ramai turut mengambil peluang untuk membeli barangan keperluan asas dengan harga yang lebih murah berbanding di pasaran.