BUKIT GANTANG, 26 Januari - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menganggarkan seramai 25,000 pekerja asing diperlukan bagi mengisi kekosongan pekerjaan kapal laut dalam di negara ini.
Pengerusinya, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata langkah itu bertujuan untuk menstabilkan bekalan ikan terutamanya menjelang musim perayaan.
Jelasnya, menerusi tinjauan di Terengganu baru-baru ini, kebanyakan pengusaha kapal laut dalam mengeluh kerana tidak dapat beroperasi berikutan ketiadaan pekerja khususnya dari Thailand, sekali gus memberi kesan kepada kenaikan harga ikan dan bekalan ikan semasa.
"Rungutan mereka ini (pengusaha kapal), ke mana sahaja saya pergi, inilah rungutan mereka, bahawa kru tidak boleh masuk.
"Dalam keadaan sekarang, ada kelonggaran, saya mencadangkan kepada kerajaan khususnya Jabatan Imigresen Malaysia, mencari satu kaedah untuk memudahkan dengan kos yang lebih rendah" katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Buku Akaun Tabung Anak Bukit Gantang dan Sumbangan Dermasiswa di Dewan Terbuka Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gantang.
Dalam perkembangan berasingan, beliau memaklumkan bekalan ikan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina adalah terkawal, walaupun dijangka berlakunya kenaikan harga di pasaran.
Bagi menampung keperluan semasa, pihaknya juga mengimport 20 peratus bekalan ikan, antaranya dari Pakistan, Bangladesh, Indonesia dan India.