fb fb fb fb fb

Lebih 900 PEDi telah beroperasi di seluruh negara

BAU, 16 September- Sebanyak 911 buah Pusat Ekonomi Digital (PEDi) telah beroperasi di seluruh negara setakat ini.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata di Sarawak sebanyak 133 PEDi telah beroperasi sepenuhnya manakala sebanyak 23 PEDi baharu sedang dalam perancangan untuk dibangunkan.

Ia melibatkan lapan di daerah Kuching, tiga di Sibu manakala dua di Simunjan.

"Apabila kita sudah menyediakan perkhidmatan internet, kita mahu rakyat faham dan menggunakannya dengan baik. Ia bagi mengelakkan pengguna menjadi mangsa penipuan dalam talian, serta tidak mudah terpengaruh dengan maklumat tidak sahih.

"Kita juga dalam fasa terakhir perbincangan dengan syarikat telekomunikasi dan harapan saya berita baik baik untuk rakyat Sarawak akan diumum dalam tempoh satu atau dua minggu lagi," katanya kepada pemberita dalam majlis perasmian Hari Bersama Komuniti PEDi Krokong di sini.

Di Daerah Bau, terdapat tujuh buah PEDi yang telah beroperasi.

Selain itu, Fahmi turut berharap dengan adanya internet yang lebih laju di PEDi akan membuka peluang kepada lebih ramai penduduk di daerah Bau supaya boleh memanfaatkan kemudahan yang disediakan.

Fahmi turut berharap agar latihan keusahawanan yang dianjurkan oleh PEDi akan memperkasakan lebih ramai usahawan yang berdaya saing dan berkembang maju.

(Fahmi Fadzil)

Media Baharu