JOHOR BAHRU, 16 September - Seramai 155 pasangan dari semua daerah di Johor dinikahkan beramai-ramai dalam Majlis Walimatul Urus Perdana Peringkat Negeri Johor di Pusat Konvensyen Danga Bay, Johor Bahru, hari ini.
Semua pasangan yang berusia diantara 17 hingga 42 tahun dinikahkan oleh 50 jurunikah di bawah Majlis Agama Islam Negeri Johor di hadapan saksi masing-masing.
Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khaled berkata sebanyak RM500,000 diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri bagi meraikan kesemua pasangan pengantin yang bernikah dalam majlis berkenaan.
"Ini merupakan usaha kerajaan negeri dalam meraikan Bangsa Johor dan juga mengimplimentasikan slogan Maju Johor.
"Ia juga dapat menunjukkan manfaat daripada inisiatif kerajaan Johor itu dapat dirasai bersama. Tahun ini kita akan rangkumkan di peringkat negeri sebelum dipecahkan di peringkat daerah", katanya ketika ditemui semasa Majlis Walimatul Urus Perdana Peringkat Negeri Johor di Pusat Konvensyen Danga Bay, di sini.
Sementara itu, bagi pasangan pengantin pertama yang dinikahkan oleh Kadi Besar Johor, Halid Sono dan pasangan pengantin adik beradik masing-masing meluahkan rasa syukur kerana dapat diijab kabulkan dengan mudah dalam satu majlis yang indah.
"Perasaan gembira kerana dapat menjimatkan kos memandangkan harga barang yang meningkat.
"Sepatutnya, perancangan untuk nikah adalah pada tahun depan.Tiba-tiba saya dan pasangan dapat tawaran pada tahun ini, kami sertai dan kami anggap ia sebagai langkah kanan", katanya mengakhiri perbualan.
(FOTO FB mohdfared.mohdkhalid.1)