fb fb fb fb fb

Hari Malaysia: 145 peserta sertai Program Berakit@Sungai Perak

(Program Berakit@Sungai Perak di Kuala Kangsar sempena sambutan Hari Malaysia)

KUALA KANGSAR, 16 September- Seramai 145 peserta menyertai Program Berakit@Sungai Perak yang diadakan sempena Sambutan Hari Malaysia, hari ini.

Ia membabitkan jarak sejauh sembilan kilometer bermula dari Jeti Nelayan Kampung Chegar Galah, Sauk dan berakhir di Dataran Jambatan Victoria, di sini.

Pegawai Daerah, Zulhisham Ahmad Shukori berkata, program tersebut merupakan kesinambungan daripada program sama yang diadakan tahun lalu.

"Tahun ini kita cuba satu kelainan sebab saya rasa (aktiviti) berakit ini sudah lama tidak dilaksanakan dan ia juga merupakan satu budaya masyarakat dahulu kala bagi meraikan sesuatu, biasanya mereka akan berakit.

"(Selain itu), program berakit ini buat kita menghargai keindahan sungai dan menghargai sesama kita," katanya ketika ditemui media pada majlis penutup program terbabit di Kampung Warisan, Jambatan Victoria, di sini.

Sebanyak 14 buah rakit digunakan dengan penglibatan peserta daripada pelbagai jabatan dan agensi di daerah tersebut, antaranya Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar dan Pejabat Pendidikan Daerah.

(Program Berakit@Sungai Perak)

Media Baharu