fb fb fb fb fb

Lebih 7,000 terminal SARA mudahkan rakyat berbelanja

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh, pada Karnival Komuniti MADANI Merdeka 2025 Parlimen Kuantan, Kuantan, Pahang.

KUANTAN, 30 Ogos - Lebih 7,000 terminal khas bagi memproses pembayaran Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kini tersedia di semua rakan niaga MyKasih seluruh negara bagi memudahkan 22 juta rakyat Malaysia membeli barangan keperluan asas.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata jumlah terminal itu akan terus meningkat dengan hasil kerjasama Kementerian Kewangan (MOF) dan penyedia program MyKasih.

Beliau berkata pihaknya turut memohon kepada MOF supaya kemudahan terminal itu diperluas ke semua lokasi Jualan Rahmah bergerak supaya rakyat dapat menikmati manfaat tambahan ketika membeli barangan keperluan asas berkenaan.

Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan tiada aduan kekurangan bekalan telur di pasaran susulan penamatan subsidi sepenuhnya bermula 1 Ogos lalu.

Menurut Datuk Dr. Fuziah, KPDN sentiasa memantau situasi setiap hari dan setakat ini bekalan serta harga telur kekal terkawal.

"Sekiranya ada gangguan bekalan di sesuatu kawasan, ia hanya bersifat setempat dan pengguna diminta segera melaporkan kepada KPDN," katanya kepada pemberita bersempena Karnival Komuniti MADANI Merdeka 2025 Parlimen Kuantan, di sini hari ini.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI