SHAH ALAM, 30 Ogos - Keadaan pelajar lelaki tingkatan tiga yang dipercayai terjatuh dari tingkat tiga sebuah asrama di Sabak Bernam pada 26 Ogos lalu, berada dalam keadaan stabil dan menunjukkan tindak balas positif.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin menerusi satu kenyataan memaklumkan, berdasarkan maklum balas Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), pelajar tersebut masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh.
“Pelajar itu telah menjalani prosedur khas bagi mengawal tekanan dalam otak dan rawatan kecemasan itu berjaya dilengkapkan dalam tempoh 48 jam pertama.
“Setakat hari ketiga selepas rawatan, keadaan pelajar dilaporkan lebih stabil dan menunjukkan beberapa tindak balas positif. Pasukan perubatan terus memantau perkembangannya dari semasa ke semasa,” katanya.
Semua pihak disaran memberikan ruang kepada keluarga mangsa serta mengelak daripada membuat atau menyebarkan spekulasi yang boleh menjejaskan emosi mereka.
“Kerajaan Selangor menzahirkan rasa simpati dan doa agar adik ini segera pulih.
“Kerajaan negeri bersama JKNS juga akan terus memantau perkembangan kesihatan pelajar ini dan memberikan sokongan yang diperlukan kepada pihak keluarga,” katanya.