KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang diluluskan Parlimen baru-baru ini sebagai hadiah kepada seluruh anak muda yang terlibat dalam industri gig termasuk penghantar makanan dan pemandu e-hailing.
Menurut Datuk Seri Anwar, RUU tersebut memberikan takrifan lebih jelas kepada profesion berkenaan dengan jaminan pengiktirafan, perlindungan sosial yang kukuh serta masa depan lebih terjamin.
"Alhamdulillah, satu kemenangan bagi pekerja gig sesuai dengan semangat kemerdekaan sekarang iaitu membebaskan pekerja gig dari tekanan dan mendengar, menyantuni tuntutan mereka yang kita janjikan.
"Walaupun ia mengambil masa kerana proses perundangan begitu rumit, ada juga bangkangan tetapi saya syukur Alhamdulillah," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, kementeriannya serta rakan-rakan yang konsisten menyokong usaha merealisasikan aspirasi rakyat, khususnya melibatkan pekerja gig.
RUU Pekerja Gig 2025 yang memberi manfaat kepada lebih 1.2 juta pekerja sektor berkenaan, termasuk hak rundingan gaji dan syarat kerja, diluluskan di Dewan Rakyat pada Khamis lalu.
Selepas tujuh tahun proses penggubalan, undang-undang itu akhirnya diluluskan selepas dibahaskan oleh 23 ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.