GAZA, 21 September - Lebih 650,000 penduduk awam memilih untuk kekal di Gaza meskipun berdepan serangan berterusan tentera Israel serta kemerosotan bekalan asas, sekali gus mencetuskan krisis kemanusiaan yang belum pernah berlaku.
Situasi getir itu meletakkan mereka dalam dilema sama ada terus tinggal atau berdepan risiko kematian di kediaman masing-masing.
Di hospital-hospital, petugas perubatan enggan meninggalkan tugasan dan tekad meneruskan tanggungjawab terhadap pesakit.
“Bertahan di Hospital Al-Shifa adalah kewajipan kemanusiaan yang akan kami penuhi hingga ke akhir hayat. Tanpa kami, tiada pembedahan atau rawatan kritikal dapat dijalankan,” kata pakar bius hospital itu, Amin Awad.
Ramai penduduk Gaza yang sebelum ini dipindahkan berkali-kali kembali ke bandar berkenaan kerana berpandangan bahawa bergerak ke selatan tidak membawa jaminan keselamatan.
“Kami lari dari Shuja’iyya dan kini berada di Al-Samer. Saya pernah pergi ke selatan, tetapi keadaan di sana lebih perit. Hari ini saya kehilangan anak saudara, manakala kakak saya parah dan koma,” kata Umm Youssef, salah seorang penduduk yang dipindahkan.
Pemimpin agama serta pertubuhan bantuan tempatan turut memilih untuk kekal, selain terus menyediakan perlindungan kepada keluarga yang berlindung di gereja dan masjid.
Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (OCHA) memaklumkan, sistem sokongan terakhir bagi orang awam di Gaza City kini kian runtuh susulan serangan Israel yang berterusan.
OCHA turut melaporkan perpindahan penduduk dalam Gaza meningkat pantas dengan lebih sejuta orang dipindahkan sejak gencatan senjata berakhir pada pertengahan Mac. Sehingga Rabu, 200,000 perpindahan direkodkan dari utara ke selatan Gaza sepanjang tempoh sebulan lalu.-REUTERS