fb fb fb fb fb

Lebih 61% atau 28,258 KIR terjejas banjir sudah terima BWI dalam tempoh 10 hari - PM

FOTO UMNO ONLINE 

PUTRAJAYA, 3 Januari - Sehingga semalam, Bantuan Wang Ihsan (BWI) telah selesai diagihkan kepada seramai 28,258 (61.2%) daripada 46,162 Ketua Isi Rumah (KIR).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebanyak lima negeri iaitu Kelantan, Wilayah Persekutuan, Melaka, Terengganu dan Perak telah mencapai 100 peratus pembayaran BWI kepada KIR yang terkesan.

"Bantuan itu berjaya diagihkan dalam tempoh 10 hari selepas penduduk terkesan banjir berbanding tiga hingga enam bulan sebelum ini", katanya menerusi satu kenyataan petang ini.

Perdana Menteri menambah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) telah menubuhkan pusat arahan dengan pemantauan harian dibuat secara 'real time' sejak 27 Disember lalu bagi mempermudah urusan agihan BWI agar lebih cepat dan efektif.

Sementara itu, sebanyak RM33 juta daripada RM93 juta permohonan Pinjaman Mikro Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk isi rumah yang terjejas banjir telah diluluskan sejak dilancarkan pada 27 Disember lalu.

Bagi sumbangan Rangkaian Tindak Balas Bencana Syarikat Berkaitan Kerajaan dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GDRN), sebanyak 60% daripada sumbangan berjumlah RM58 juta telah berjaya dilaksanakan.

"Berikutan pengumuman Kerajaan mengenai pemberian Baucar Pembelian Barangan Elektrik, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KetSA) akan menggunakan mekanisme Sustainability Achieved via Energy Efficiency (SAVE) dimana penerima boleh mula membuat pembelian di premis terpilih atau secara dalam talian bermula 7 Januari ini.

Pada tarikh sama, diskaun dan Baucar Pembaikan Kenderaan juga akan terpakai bagi pembaikan dari 19 Disember 2021.

Permohonan bagi Pinjaman Bantuan Bencana untuk PMKS (BNM) telah mula dibuka untuk permohonan pada 27 Disember lalu. Permohonan moratorium sehingga 6 bulan bagi pinjaman sedia ada boleh dibuat bermula 19 Disember 2021", katanya.

Dalam aspek pemulihan dan kebersihan awam, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melaporkan sehingga semalam, kerja-kerja pembersihan bagi lima buah negeri (Selangor 82%, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 100%, Negeri Sembilan 95%, Pahang 77%, Melaka 100% telah selesai 91%).

Sebanyak 53,800 tan sisa banjir telah diurus menggunakan 2,730 jentera.

Dalam pada itu, kluster komunikasi strategik yang diterajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia aktif melaksanakan hebahan maklumat sejak bermulanya fenomena monsun timur dan terus dipergiatkan sejak jangkaan berlaku gelombang kedua bagi memastikan penduduk bersedia lebih awal.

Terdahulu, Ismail mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pengurusan Pasca Banjir Bencana Monsun Timur Laut 2021/2022 dan menerima taklimat status tindakan daripada enam kluster yang telah ditubuhkan bagi mengurus inisiatif Pasca Banjir Bencana Monsun Timur Laut 2021/2022.

Media Baharu