fb fb fb fb fb

Lebih 6,000 anggota PDRM ditugaskan sepanjang musim perayaan

KUALA LUMPUR, 5 Mei - 6,559 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditugaskan di seluruh negara termasuk di peringkat daerah bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan sepanjang musim perayaan Aidilfitri.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, ACP Mohd Radi Abd Rahman berkata selain meminimumkan kadar kemalangan jalan raya, tumpuan juga diberi kepada pencegahan jenayah pecah rumah.

"Tumpuan utama kita untuk memastikan kelancaran trafik dan dalam masa yang sama ingin memastikan bahawa rumah yang ditinggalkan, harta benda yang ditinggalkan sepanjang menyambut hari raya ini selamat. Ini termasuk juga dalam aspek jenayah dapat kita kekang," katanya dalam rancangan terbitan RTM.

(ACP Mohd Radi Abd Rahman)

ACP Mohd Radi juga memaklumkan, sebanyak 8,361 kes kemalangan jalan raya direkodkan sepanjang lima hari pertama pelaksanaan Op Selamat 18.

Katanya, kebanyakan kemalangan berlaku melibatkan lokaliti tempatan.

89 kematian turut dicatatkan dengan 54 kes membabitkan penungang motosikal.

"Perjalanan jauh balik kampung sedikit, sebaliknya kemalangan yang besar berlaku di kawasan lokaliti tempatan maksudnya penduduk tempatan yang berada dalam kawasan yang sama jadi perkara ini harus kita ambil berat.

"Ibu bapa juga dapat menasihatkan anak mereka, selain golongan warga emas yang pulang dari surau masjid supaya lebih berhati-hati kerana kenderaan pada masa berkenaan yang banyak ekoran warga kota pulang ke kampung," katanya.

Media Baharu