fb fb fb fb fb

Lebih 5,000 kenderaan langgar had laju pada hari pertama Ops Hari Raya Aidilfitri

(Kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik)

KUALA LUMPUR, 1 Mei - Sebanyak 5,021 daripada 750,903 kenderaan yang melewati kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) di lebuh raya semalam dikesan melanggar had laju dibenarkan.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam kenyataan malam tadi memaklumkan, daripada sejumlah 236,671 kenderaan yang melewati kamera AWAS di lampu isyarat pula, 966 didapati melanggar lampu merah.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 29 kamera AWAS dipasang bagi memantau pematuhan had laju dan 16 untuk memantau pematuhan lampu isyarat, beroperasi sepenuhnya sejak semalam.

(Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Senawang menuju ke Selatan dan Utara/BERNAMA) 

Pada hari pertama Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2022, kesalahan memandu melebihi had laju dan melanggar isyarat lampu merah adalah yang tertinggi dilakukan pengguna jalan raya.

Pelaku kedua-dua kesalahan akan dikenakan tindakan mahkamah dan tidak boleh dikompaun mengikut Seksyen 79 Akta 333 (JPJ).

"Sekiranya disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga RM2,000. Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan, seterusnya menurunkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya," katanya. -BERNAMA

Media Baharu