fb fb fb fb fb

Lebih 42,000 daftar PADU secara fizikal di Negeri Sembilan

Mohd Sawal Shakimon (diri) membantu orang awam yang hadir ke kaunter fizikal PADU di UTC Seremban, hari ini.

SEREMBAN, 10 Januari- Seramai 45,253 individu telah berjaya mendaftar dan mengemas kini sistem Pangkalan Data Utama (PADU) di Negeri Sembilan menerusi kaunter fizikal yang dibuka sejak 2 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Perangkaan negeri, Mohd Sawal Shakimon berkata, pembukaan kaunter fizikal kini berada di fasa kedua dengan 20 kaunter dibuka di seluruh negeri itu termasuk 18 di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) bagi memudahkan orang ramai membuat pendaftaran PADU.

"Petugas dari Jabatan Perangkaan akan berada di kaunter untuk membantu orang ramai yang datang ke PEDi di Negeri Sembilan.

"Fokus kami (membantu) penduduk yang ada masalah dalam pengisian dalam talian. Jadi mereka boleh datang ke kaunter fizikal PEDi," katanya kepada pemberita di kaunter fizikal PADU di UTC Seremban di sini.

Katanya, di daerah Jelebu terdapat empat PEDi yang menawarkan perkhidmatan kaunter fizikal iaitu PEDi Felda Pasoh 1 dan 4, PEDi Felda Titi, dan PEDi Ulu Seperi.  

Sementara Kuala Pilah di PEDi Kg Gentam, Port Dickson (PEDi Kampung Si Rusa), Rembau (PEDi Taman Salam Nadiah), Seremban (PEDi Pekan Rantau) serta Tampin di PEDi Felda Bukit Jalor dan PEDi Kg Tenai.

Daerah Jembol pula melibatkan PEDi Kampung Serting Tengah, PEDi Felda Pasoh 2, PEDi Felda Sungai Lui, PEDi Kampung Lonek, PEDi Felda Raja Alias 1, PEDi Felda Palong 11, PEDi Felda Serting Hilir 1 dan PEDi Kuala Jempol.

SITI AISHAH BINTI MD ISA