fb fb fb fb fb

Lebih 40,000 penduduk terjejas banjir di enam negeri ditempatkan di PPS

KUALA LUMPUR, 4 Mac - Jumlah penduduk terjejas banjir yang dipindahkan di enam negeri yang terjejas terus mencatatkan peningkatan membabitkan 40,922 mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) dengan Selangor menjadi negeri terbaharu dilanda bencana itu.

Di Johor, keadaan banjir dilihat semakin memburuk dengan jumlah penduduk terjejas terus meningkat kepada 37,322 orang setakat 8.00 pagi ini berbanding 34,849 orang pada pukul 8.00 malam tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan ia susulan pertambahan 13 PPS menjadikan 238 PPS beroperasi di sembilan daerah setakat ini.

Segamat kekal menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 13,358 orang daripada 3,921 keluarga ditempatkan di PPS, diikuti Batu Pahat 7,368 orang daripada 2,136 keluarga; Kluang melibatkan 5,288 penduduk terjejas (1,534 keluarga) dan Kota Tinggi 3,292 orang (882 keluarga).

Turut terjejas, Muar dengan 3,330 orang (969 keluarga); Tangkak 2,661 orang (754 keluarga); Johor Bahru dengan 699 orang (226 keluarga); Mersing 964 orang (280 keluarga) dan Pontian 362 orang (91 keluarga).

Sebanyak 15 sungai di Segamat, Muar, Tangkak, Batu Pahat, Kluang dan Kota Tinggi turut melepasi paras bahaya, termasuk Sungai Muar di Lubuk Kepong (Segamat) yang merekodkan bacaan 20.50 meter (m); Sungai Batu Pahat di Empangan Bekok (Batu Pahat) 20.18m dan Sungai Endau di Kampung Contoh (Kluang) 15.63m.

Di Pahang jumlah penduduk terjejas banjir yang dipindahkan terus meningkat dengan 2,317 orang yang ditempatkan di 22 PPS pagi ini berbanding 2,186 orang di 21 PPS pada malam tadi.

Daerah Rompin kekal merekodkan jumlah penduduk terjejas tertinggi iaitu 1,905 orang diikuti Temerloh (254 orang), Pekan (106 orang), Bera (29 orang) dan Maran (13 orang).

Sementara itu, 10 orang ditempatkan di sebuah PPS di Jerantut yang dibuka malam semalam atas faktor keselamatan ekoran kenaikan air Sungai Tekam dan Sungai Siam.

Di Melaka, jumlah penduduk terjejas banjir juga meningkat daripada 204 orang (50 keluarga) pada 8.00 malam tadi, kepada 379 mangsa daripada 97 keluarga pagi ini.

(FOTO FAIL)

Sekretariat JPBN dalam kenyataan memaklumkan satu lagi PPS dibuka di Jasin sekitar pukul 11.30 malam semalam berikutan berlakunya peningkatan penduduk terjejas banjir banjir menjadikan keseluruhan sebanyak enam PPS yang beroperasi di dua daerah tersebut.

Selangor yang menjadi negeri terbaharu terjejas bencana itu, menyaksikan 107 penduduk terjejas banjir daripada 24 keluarga dipindahkan ke dua PPS di Sungai Buloh dan Kuala Selangor.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan dan Bencana Negeri Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Selangor, PPS tersebut SK Merbau Sempak, Sungai Buloh dan Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) Desa Coufield, Kuala Selangor.

Sementara itu, di Negeri Sembilan, jumlah penduduk terjejas banjir terus berkurangan kepada 783 individu daripada 214 keluarga berbanding 867 individu daripada 235 keluarga di enam PPS setakat pagi ini.

Jumlah penduduk terjejas banjir di Sarawak, juga kekal 14 orang daripada lima keluarga setakat pagi ini dan ditempatkan di PPS Komplek Sukan Julau.

Media Baharu